Rabu, 18 November 2015

Kitar semula pakaian.

Assalammualaikum..

   Hari ini anak bujang saya bising. Katanya seluar adik sudah tiada. Sebenarnya baru minggu lepas suami belikan anak-anak seluar panjang kerana beli sedikit pakaian untuk orang baru nanti. Mula-mula malas juga saya hendak layan. Ini kerana tiada aura hendak menjahit. Telekung yang tinggal jahit tindih pun saya tidak menjahit, walhal kalau hendak siap sehari sahaja boleh siap.

  Tapi kesian juga anak bujang ini. Ini kerana sekarang asyik berkepit sahaja. Maka, dalam keadaan bermalas-malasan saya mencari idea untuk membuat seluar yang cepat siap. Jadi saya selongkar baju-baju lama saya. Blouse muslimah yang saya miliki, kebiasaannya kain t-shirt yang berkualiti. Sebab itu saya sayang baju tersebut walaupun sudah tidak muat...hihi. 

   Pola seluar anak saya sememangnya saya simpan. Senang bila-bila hendak digunakan. Jadi, saya mulakan sessi menekap pola. Zass...10 minit siap. Boleh terus pakai. Ini kerana untuk bahagian kaki seluar tidak perlu di jahit. Hanya potong bentuk seluar dan letak getah pinggang. Untuk tangan baju, saya simpan dahulu. Saya kena buat pola seluar untuk bayi nanti. Maka, bayi juga dapat seluar kitar semula. 

   Jadi selepas ini, baju dan seluar yang terpakai jangan di buang. Di tambah pula kain yang sedap-sedap. Bila ada masa lapang, dah boleh buat pakaian anak-anak. Jimat belanja. Sekian.

Blouse muslimah saya. Saya ambil bahagian badan.
Ini hasilnya untuk anak bujang.

Khamis, 5 November 2015

Cardigan untuk sessi berpantang

Assalammualaikum.

   Sudah agak lama saya tidak kemas kini blog kesayangan saya ini. Saya dalam proses menyiapkan tempahan-tempahan telekung dan sedikit untuk keperluan bayi. Dalam sibuk untuk menyediakan keperluan bayi, terhasil juga keperluan untuk ibu semasa di hospital dan proses  berpantang. Saya bukan seorang yang gemar ber"cardigan" sebenarnya, tetapi kadang-kadang masa memerlukan saya berkeadaan begitu. 

  Bila seorang rakan alam maya berkongsikan cara menjahit "cardigan" anaknya, maka saya tiba-tiba rasa untuk menjahit sehelai untuk saya semasa di hospital nanti mahupun semasa membawa bayi ke klinik. Maka terhasil jua "cardigan" dewasa khas untuk saya yang menyusukan bayi secara terus.

Cardigan pertama ku
   "Cardigan" ini saya sememangnya menjahit lebih besar untuk bahagian depan. Jadi untuk mendapatkan kelonggaran yang saya mahu, saya potong kain secara bias. Ia akan nampak kembang dan besar . Untuk tidak terlalu terdedah, saya meletakkan 4 butang ketip. Jarak antara butang juga jauh, maka jika saya melakukan penyusuan, bayi tidak lemas. 

Material dari jarak dekat
   Material ini pula saya menggunakan lycra yang bergaris. Ia seolah-olah kain t-shirt. Tetapi nipis sedikit. Saya membeli semasa Jakel membuat jualan pindah kedai. Alhamdulillah, akhirnya berguna jua kain ini. Masa itu harga RM10/meter sahaja. Saya beli dalam 2 1/2 meter. Niat sebenarnya hendak buat pakaian basahan untuk di rumah sahaja, tetapi sudah hampir setahun kain masih dalam gulungan..hihi.. Penyakit suka beli kain sebenarnya.

  Sampai di sini sahaja coretan saya untuk "cardigan" ye. Walaupun ada rakan-rakan seperjuangan dahulu hendak menempah, saya tidak ambil tempahan. Masa saya adalah teramat-amat terhad sekarang. Di tambah pula harga kain dan barang-barang jahitan yang sudah meningkat. Jadi sekadar untuk diri sendiri dam memberi idea kepada rakan-rakan. Sekian.