Khamis, 4 Februari 2016

Telekung tanpa awning

Assalammualaikum..

  Alhamdulillah..baru mula menjahit selepas bercuti panjang. Bila sudah lama bercuti, ingin mulakan balik aktiviti menjahit agak bermalas-malasan juga. Akan tetapi saya betul-betul jadi bersemangat ingin mencuba menjahit telekung tanpa awning.

  Saya sememangnya lebih suka menggunakan bahan dari kapas apabila menjahit telekung. Di tambah pula kain kapas masih ada di rumah. Jadi saya mulakan sessi menjahit sementara anak kecil saya tidur. Untuk yang pertama kali hasilnya, adalah hadiah untuk diri sendiri.


   Setelah saya buat, ramai pula yang bertanya bagaimana bentuk telekung ini bila di pakai. Maka saya jadi model telekung sendiri. Kerana saya tidak berapa pandai ber"selfie", jadi saya tutup wajah saya. Cuma yang penting bentuk telekung. Setelah saya pakai, ini hasilnya.

Abaikan jerawat tu ye...hihi
      Telekung ini tetap mempunyai lapik dalam. Saya suka mempunyai lapik dalam. Ada juga yang telah mula menempah. Alhamdulillah. Untuk telekung jenis ini, buat masa ini saya hanya buat "standard" saiz sahaja. Iaitu saiz muka hanya 21". Yang mana sudah menempah, maka wajib ikut giliran. Saya tidak boleh menerima jika menempah untuk yang "URGENT". Saya minta maaf sangat-sangat. Melainkan ada stock sedia ada. Sekian.

Isnin, 1 Februari 2016

Kelas Pratikal

Assalammualaikum..

   Tinggal lagi 2 minggu hendak bersalin, saya memujuk suami untuk mengikuti kelas terakhir. Kelas pratikal pula. Bukan senang yee.. Alhamdulillah, suami setujuKelas sehari ini agak lama. Bukan itu sahaja malah lebih jauh. Kelas di Putra Height berhampiran Puchong dan Shah Alam. Masa saya menyatakan hasrat ingin menuntut ilmu, cikgu saya agak terkejut. Dia jadi risau kerana jauh perjalanan saya dari rumah ditambah tunggu hari ingin bersalin.

  Tetapi saya yakinkan cikgu saya. Alhamdulillah, berjaya saya menuntut ilmu di Putra Height. Kelas bermula 9pagi hingga hendak masuk waktu Maghrib. Berbaloi bukan kelas tersebut?. Saya belajar 3 jenis fesyen. Iaitu baju kurung moden, baju melayu cekak musang dan easy telekung. Alhamdulillah. Anak sulung saya tinggal di rumah ibu bapa saya. Jadi suami dan anak lelaki sahaja yang temankan saya. Suami akan membawa anak saya jalan-jalan sehingga saya telefon kelas selesai.

 3 jenis fesyen pakaian yang saya belajar.

Easy telekung

Baju melayu cekak musang

Baju Kurung Moden


Kain Lipat Batik
   Hasil saya tunjukkan kepada cikgu saya. Bila cikgu kata selepas ini boleh buka kelas. Saya hanya mampu tersenyum. Kini cikgu saya sudah pun berhijrah di kampung halamannya di Kelantan. Tetapi adakalanya dia akan ke sini. Jadi sementara itu boleh saya kumpul duit sedikit. Ini kerana ada ilmu yang saya inginkan dari cikgu saya ini. Sekian.

Sabtu, 30 Januari 2016

Semangat selepas kelas designer

Assalammualaikum.

  Selepas kelas designer, maka bermula untuk melakukan pratikal di rumah. Bukan apa, untuk melihat sejauh mana pemahaman. Bukan itu sahaja, kena buktikan kepada suami juga bawa masa dan wang yang saya keluarkan berbaloi.

  Maka terhasil baju "frozen". Untuk pemulaan saya hanya menggunakan kain yang ada di rumah. Kain yang murah-murah. Kain pula tidak berapa hendak cukup jika ingin labuh. Tetapi bersyukur bayang-bayang baju "frozen" itu ada. Berbunga-bunga hati bila dapat melihat anak gembira memakai baju yang saya jahit. Malah, pakaian yang dia selalu tonton.

Baju "Frozen" untuk anak dara sulung.
   Saya amat-amat jarang menjahit pakaian suami..hihi. Citarasa yang berbeza. Tetapi untuk pertama kalinya saya menjahit baju t-shirt suami dan anak lelaki. Alhamdulillah, saya berjaya menjahit mengikut "spec" yang suami inginkan. Buat pertama kali juga anak lelaki saya ada baju sedondon dengan abah.

T-shirt abah dan anak
Sekian

Khamis, 28 Januari 2016

Kelas Designer

Assalammualaikum.

   Pada 22 November 2015 saya telah mengikuti kelas teori designer di Gombak. Dahulu tahun 2012 saya datang ke Masjid Al-Khairiyah untuk menuntut ilmu jahitan Telekung Umrah di saat sarat mengandung anak ke 2. Kini menuntut ilmu designer, sarat mengandung anak ke 3 pula. Alhamdulillah, Allah banyak permudahkan saya dalam menuntut ilmu semasa mengandung.

  Walaupun kelas hanya teori namun berbaloi.  Nama guru saya Puan Ganal Alma. Pernah measuk rancangan Saffiyah di TV9. Kelas ni belajar olahan pola dan membuat pola dalam bentuk mini sahaja iaitu sekadar pemahaman. Saya dapat guru yang sudi menjawab segala pertanyaan kami.Kelas ini di adakan di Gombak iaitu rumah salah seorang peserta kelas designer juga.

  Antara gambar sessi kelas designer.


Cikgu bagi penerangan

Bersama cikgu dan rakan seilmu

Sessi perbincangan.
   Seperti biasa suami akan menjaga anak-anak. Disamping saya bekalkan nasi untuk suami dan anak-anak. Ini dapat memudahkan urusan suami. Makan di taman seperi berkelah. Suami akan tunggu di taman sehingga saya selesai kelas. Alhamdulillah, anak-anak gembira dan memahami saya pergi mencari ilmu. Sekian.

Ahad, 24 Januari 2016

Pengalaman melahirkan ahli keluarga baru

Assalammualaikum..



    Alhamdulillah..kini tinggal lagi 4 hari saya akan habis berpantang. Tanggal 16 December 2015 bersamaan 8:20 malam saya telah selamat melahirkan bayi perempuan. Berat bayi 3.09kg. Sehari selepas ulang tahun ke 4 kelahiran abangnya. Nur Auni binti Muhammad Ghazali nama di beri oleh abahnya sendiri.

   Auni di lahirkan di Hospital Selayang. Bersyukur sangat-sangat kerana Allah telah memudahkan urusan kami sekeluarga. Walaupun saya hanya sempat bersalin di bilik PAC. Bilik PAC ahli keluarga atau suami tidak di benarkan masuk. Tetapi saya bersyukur, doktor dan jururawat amat-amat membantu dan perihatin terhadap saya.

   Punca saya bersalin di bilik PAC ialah pada mulanya bilik bersalin penuh. Doktor meminta saya bertahan sebentar sahaja sementara mendapat bilik bersalin kosong. Tetapi saya betul-betul hendak bersalin. Doktor beritahu risiko bersalin di bilik PAC. Ini kerana bilik PAC tiada kelengkapan seperti bilik bersalin. Sebagai contoh, jika saya tidak mampu meneran bayi keluar, bilik ini tiada kelengkapan vacum untuk vacum bayi. Malah ahli keluarga juga tidak boleh masuk bilik ini.

  Doktor bertanya pendapat suami, suami berkata In sha Allah..Allah permudahkan urusan saya. Di tambah pula 2 orang anak saya juga mengikut kami ke hospital. Saya juga berkata saya berserah kepada Allah. Alhamdulillah, Allah memudahkan dan selamat melahirkan Auni walaupun hanya di bilik PAC. Doktor pula berkali-kali meminta maaf. Bagi saya bukan kemaafan, tetapi jutaan terima kasih. Walaupun kekurangan peralatan, doktor dan jururawat memberikan perkhidmatan terbaik.

   Sebenarnya sudah 2 kali saya bersalin di Hospital Selayang. Alhamdulillah, perkhidmatan yang di berikan saya berpuas hati. Nama pun Hospital Rakan Bayi. Terima kasih doktor dan jururawat. Sekian.

  

Rabu, 18 November 2015

Kitar semula pakaian.

Assalammualaikum..

   Hari ini anak bujang saya bising. Katanya seluar adik sudah tiada. Sebenarnya baru minggu lepas suami belikan anak-anak seluar panjang kerana beli sedikit pakaian untuk orang baru nanti. Mula-mula malas juga saya hendak layan. Ini kerana tiada aura hendak menjahit. Telekung yang tinggal jahit tindih pun saya tidak menjahit, walhal kalau hendak siap sehari sahaja boleh siap.

  Tapi kesian juga anak bujang ini. Ini kerana sekarang asyik berkepit sahaja. Maka, dalam keadaan bermalas-malasan saya mencari idea untuk membuat seluar yang cepat siap. Jadi saya selongkar baju-baju lama saya. Blouse muslimah yang saya miliki, kebiasaannya kain t-shirt yang berkualiti. Sebab itu saya sayang baju tersebut walaupun sudah tidak muat...hihi. 

   Pola seluar anak saya sememangnya saya simpan. Senang bila-bila hendak digunakan. Jadi, saya mulakan sessi menekap pola. Zass...10 minit siap. Boleh terus pakai. Ini kerana untuk bahagian kaki seluar tidak perlu di jahit. Hanya potong bentuk seluar dan letak getah pinggang. Untuk tangan baju, saya simpan dahulu. Saya kena buat pola seluar untuk bayi nanti. Maka, bayi juga dapat seluar kitar semula. 

   Jadi selepas ini, baju dan seluar yang terpakai jangan di buang. Di tambah pula kain yang sedap-sedap. Bila ada masa lapang, dah boleh buat pakaian anak-anak. Jimat belanja. Sekian.

Blouse muslimah saya. Saya ambil bahagian badan.
Ini hasilnya untuk anak bujang.

Khamis, 5 November 2015

Cardigan untuk sessi berpantang

Assalammualaikum.

   Sudah agak lama saya tidak kemas kini blog kesayangan saya ini. Saya dalam proses menyiapkan tempahan-tempahan telekung dan sedikit untuk keperluan bayi. Dalam sibuk untuk menyediakan keperluan bayi, terhasil juga keperluan untuk ibu semasa di hospital dan proses  berpantang. Saya bukan seorang yang gemar ber"cardigan" sebenarnya, tetapi kadang-kadang masa memerlukan saya berkeadaan begitu. 

  Bila seorang rakan alam maya berkongsikan cara menjahit "cardigan" anaknya, maka saya tiba-tiba rasa untuk menjahit sehelai untuk saya semasa di hospital nanti mahupun semasa membawa bayi ke klinik. Maka terhasil jua "cardigan" dewasa khas untuk saya yang menyusukan bayi secara terus.

Cardigan pertama ku
   "Cardigan" ini saya sememangnya menjahit lebih besar untuk bahagian depan. Jadi untuk mendapatkan kelonggaran yang saya mahu, saya potong kain secara bias. Ia akan nampak kembang dan besar . Untuk tidak terlalu terdedah, saya meletakkan 4 butang ketip. Jarak antara butang juga jauh, maka jika saya melakukan penyusuan, bayi tidak lemas. 

Material dari jarak dekat
   Material ini pula saya menggunakan lycra yang bergaris. Ia seolah-olah kain t-shirt. Tetapi nipis sedikit. Saya membeli semasa Jakel membuat jualan pindah kedai. Alhamdulillah, akhirnya berguna jua kain ini. Masa itu harga RM10/meter sahaja. Saya beli dalam 2 1/2 meter. Niat sebenarnya hendak buat pakaian basahan untuk di rumah sahaja, tetapi sudah hampir setahun kain masih dalam gulungan..hihi.. Penyakit suka beli kain sebenarnya.

  Sampai di sini sahaja coretan saya untuk "cardigan" ye. Walaupun ada rakan-rakan seperjuangan dahulu hendak menempah, saya tidak ambil tempahan. Masa saya adalah teramat-amat terhad sekarang. Di tambah pula harga kain dan barang-barang jahitan yang sudah meningkat. Jadi sekadar untuk diri sendiri dam memberi idea kepada rakan-rakan. Sekian.